Al-Qur’an adalah Kitabullah (Kitab Allah). Al-Qur’an mengandungi wahyu  atau ayat-ayat Allah Subhanahuwata’ala yang diturunkan secara langsung oleh Allah Subhanahuwata’ala melalui malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam. Oleh itu Al-Qur’an tidak bolah disamakan dengan kitab-kitab yang lain. Membaca Al-Qur’an adalah satu amalan ibadah yang sangat utama. Orang yang membaca Al-Qur’an  hendaklah mengamalkan adab-adab membaca Al-Qur’an supaya dapat mengambil manfa’at sebanyak mungkin daripada pembacaannya.

Keutamaan Membaca Al-Qur’an

Begitu tinggi kedudukan orang yang membaca Al-Qur’an di sisi Allah Subhanahuwata’ala sehingga Allah Subhanahuwata’ala menyebut orang yang membaca Al-Qur’an itu di dalam ayat yang sama dengan orang yang mengerjakan solah dan menginfaqkan (mendermakan) harta. Orang yang membaca Al-Qur’an berserta dengan adab-adabnya akan disempurnakan pahala dan ditambahkan kurnia oleh Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتۡلُونَ كِتَٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُواْ مِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ سِرّٗا وَعَلَانِيَةٗ يَرۡجُونَ تِجَٰرَةٗ لَّن تَبُورَ ٢٩ لِيُوَفِّيَهُمۡ أُجُورَهُمۡ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضۡلِهِۦٓۚ إِنَّهُۥ غَفُورٞ شَكُورٞ

 “Sesungguhnya orang yang membaca Kitabullah (Al-Qur’an), mendirikan solah dan menginfaqkan (mendermakan) sebahagian harta yang telah Kami rezekikan, baik secara sembunyi mahu pun secara terang-terangan, adalah mereka itu mengharapkan suatu perniagaan yang tidak akan rugi. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan kurniaNya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pemberi (nikmat dan pahala).”

Terdapat banyak hadits-hadits daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang menjelaskan keutamaan atau kelebihan membaca Al-Qur’an dan mempelajarinya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

خيركم من تعلم القرآن وعلمه

“Sebaik-baik orang di antara kamu ialah orang yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya.”

Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu ‘anhu menyatakan: “Baginda Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

من قرأ حرفا من كتاب الله تعالى فله به حسنة والحسنة بعشر امثالها،

لاأقول الـمّ حرف ولكن أقول الف حرف ولام حرف وميم حرف

“Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Qur’an), maka untuknya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu berbanding dengan sepuluh yang sepertinya. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, akan tetapi saya mengatakan Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf.”

Umar bin Al-Khattab Radhiallahu ‘anhu menyatakan: “Baginda Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

ان الله يرفع بهذاالقرآن اقواما ويضع به اخرين

Sesungguhnya Allah mengangkat darjat oleh sebab Al-Qur’an ini bagi beberapa kaum, dan dengan Al-Qur’an ini pula Dia (Allah) merendahkan kaum yang lainnya” 

Abu Said Al Khudri Radhiallahu ‘anhu menyatakan: “Baginda Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: Allah Tabaraka wa ta’ala berfirman:

من ِشغله القرآن عن ذكرى ومسئلتى اعطيته افضل مااعطى السائلين: وفضل كلام الله على سائر الكلام كفضل الله على خلقه

“Barangsiapa disebokkan oleh Al-Qur’an dan zikir kepada-Ku, dan masalah-masalah-Ku, maka Aku anugerahkan kepadanya seutama-utama kedudukan yang aku berikan kepada orang yang meminta, dan keutamaan Kalam Allah ke atas segala ucapan yang lain adalah umpama keutamaan Allah ke atas makhlukNya.”

Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu bahawa beliau berkata: “Saya mendengar Nabi Sallallahu’alaihiwasallam berkata:

اقرؤا القرآن فانه يأتى يوم القيامة شفيعا لاصحابه

Bacalah olehmu sekelian akan Al-Qur’an, kerana sesungguhnya Al-Qur’an itu akan menjadi penolong bagi para pembacanya di Hari Kiamat.” [6]

Adab-adab terhadap Al-Qur’an

Orang yang membaca, menghafaz dan meneliti Al-Qur’an dianjurkan mengamalkan adab-adab berikut:

  1. Membaca Al-Qur’an dalam keadaan berwuduk, meskipun dibolehkan membaca Al-Qur’an tanpa berwuduk. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ada menjelaskan kepada penduduk Yaman tentang keperluan bersuci semasa menyentuh Al-Qur’an sepertimana dalam riwayat berikut:

ان النبى صلى الله عليه وسلم كتب إلى أهل اليمن كتابا

وكان فيه: لايمس القرآن إلاطاهر

“Bahawa Nabi Sallallahu’alaihiwasallam menulis sepucuk surat kepada penduduk Yaman yang di antara isinya adalah: Al-Qur’an itu tidak boleh disentuh kecuali oleh orang yang suci.” 

Juga dinyatakan oleh Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhu:

لايمس القرآن إلا طاهر

“Tidak boleh menyentuh Al-Qur’an itu kecuali orang yang suci.”

  1. Membaca Al-Qur’an di tempat yang bersih dan suci untuk menghormati keagungannya.
  1. Membacanya dengan kusyuk, tenang dan penuh hormat.
  1. Memulakan bacaan Al-Qur’an dengan ta’awwuz (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم  ). Allah Subhanuwata’ala berfirman:

فَإِذَا قَرَأۡتَ ٱلۡقُرۡءَانَ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ ٱلرَّجِيمِ

 “Apabila kamu membaca Al-Qur’an hendaklah meminta pertolongan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk.”

  1. Membaca basmallah (بسم الله الرحمن الرحيم ) pada setiap permulaan surah, kecuali surah al Bara’ah.
  1. Membaca dengan tartil iaitu bacaan yang perlahan, jelas dan bertajwid serta memberikan kepada setiap huruf akan haknya, seperti membaca panjang dan idgham. Allah Subhanuwata’ala berfirman:

أَوۡ زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا

 “Dan bacalah Al-Qur’an dengan tartil.” 

Daripada Anas bin Malek, bahawa ketika beliau ditanya mengenai qira’at  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, maka beliau menjawab, “Qira’at baginda itu panjang. Kemudian ia membaca بسم الله الرحمن الرحيم   dengan memanjangkan الله  , memanjangkan الرحمن , dan memanjangkan

Berkata Az Zarkasyi dalam Al Burhan:

Kesempurnaan tartil adalah mentafkhimkan lafaz-lafaznya, dibaca dengan jelas huruf-hurufnya dan tidak mengidghamkan satu huruf dengan huruf yang lain. Dikatakan hal ini adalah minimum tartil. Sedangkan maksimumnya ialah membaca Al-Qur’an sesuai dengan fungsi dan maknanya. Bila membaca ayat tentang ancaman hendaklah dibacanya dengan nada ancaman, dan apabila membaca ayat yang berisi penghormatan (kepada Allah) maka hendaklah membacanya dengan penuh hormat pula.”

  1. Memikirkan ayat-ayat yang dibaca. Iaitu dengan menumpukan hati dan pemikiran terhadap makna-makna yang terkandung dalam ayat-ayat yang dibaca. Allah Subhanuwata’ala berfirman:

كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ مُبَٰرَكٞ لِّيَدَّبَّرُوٓاْ ءَايَٰتِهِۦ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ

 “Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu yang penuh  berkat supaya kamu memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang yang mempunyai fikiran.” 

  1. Menyertakan perasaan dan kesedaran sewaktu membaca Al-Qur’an sehingga dapat berinteraksi dengan ayat-ayat Al-Qur’an samada berisi do’a, istighfar, rahmat mahupun azab. Juga meresapi makna dan maksud ayat-ayat Al-Qur’an sehingga rasa mengharap akan janji-janji Allah Subhanahuwata’ala dan rasa takut terhadap ancaman-ancman Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَيَخِرُّونَ لِلۡأَذۡقَانِ يَبۡكُونَ وَيَزِيدُهُمۡ خُشُوعٗا

 “Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangis dan mereka bertambah kusyuk.”

Dalam Syarh Al Muhazzab disebutkan:

“Cara untuk membolehkan menangis di saat membaca Al-Qur’an ialah dengan memikirkan dan meresapi makna ayat-ayat yang dibaca seperti yang berkenaan dengan ancaman berat, siksa yang pedih, janji dan anjuran (perintah). Kemudian, renungkan betapa diri sendiri telah melalaikannya. Apabila cara ini tidak dapat membangkitkan perasaan sedih, penyesalan dan tangisan, maka keadaan ini harus disesali dengan menangis kerana ia  adalah suatu musibah.”

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

يخرج قوم فى آخر الزمان – أوفى هذه الأمة –

يقرأون القرآن لايجاوزتراقيهم – أوحلوقهم

Di akhir zaman – atau pada umat ini – akan lahir segolongan manusia yang membaca Al-Qur’an, namun Al-Qur’an itu tidak sampai melewati tengkorok mereka atau leher mereka.”

  1. Memperelokkan suara sewaktu membaca Al-Qur’an kerana suara yang baik dan merdu akan lebih mempengaruhi dan memberi kesan kepada hati. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

زينوا القرآن بأصوا تكم

“Hiasailah Al-Qur’an dengan suara yang merdu”.

  1. Membaca Al-Qur’an dengan suara yang jelas (jahr) kerana ia lebih diutamakan. Pembacaan yang jelas dan boleh didengari akan membangkitkan semangat orang yang mendengar, di samping memudahkan para pendengar untuk memikir, memperhati dan merenungkan ayat-ayat Allah Subhanahuwata’ala. Walaubagaimana pun jika suara yang jahar (jahr) itu dikhuatiri menimbulkan rasa riya’ atau mengganggu orang lain seperti mengganggu orang yang sedang solah, maka membaca Al-Qur’an dengan suara yang rendah lebih diutamakan.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud):

“Allah tidak mendengar sesuatu selain suara Nabi yang membaca Al-Qur’an dengan suara yang jahar.”

  1. Membaca dan mempelajari Al-Qur’an dengan tujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanuwata’ala, bukan bertujuan untuk mencari populariti. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

تعلموا  القرأن واسألوا  ألله به قبل أن يتعلمه قوم يسألون به الدنيا فإن القرأن يتعلمه ثلاثة نفر رجل يباهى  ورجل يستأكل به ورجل يقرؤه لله

“Pelajarilah Al-Qur’an dan mohonlah kepada Allah dengan Al-Qur’an itu sebelum Al-Qur’an dipelajari oleh orang yang hendak mencari dunia. Sebab Al-Qur’an itu akan dipelajari oleh tiga jenis orang, iaitu orang yang mempelajari Al-Qur’an untuk mencari kebanggaan (populariti), orang yang mempelajari Al-Qur’an untuk mencari makan dan orang yang mempelajari Al-Qur’an untuk mencari redha Allah.” 

Seterusnya, perhatikanlah ancaman daripada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

من قرأ القرآن يتأكل به الناس جأ يوم القيامة ووجهه عظم ليس عليه لحم

“Barangsiapa membaca Al-Qur’an untuk mencari makan daripada manusia, maka pada hari kiamat ia akan datang sedangkan wajahnya akan berupa tulang, tidak ada dagingnya.”

  1. Membaca Al-Qur’an dengan hati yang tawadhu’, menjauhkan diri daripada bersifat sombong dan mengelakkan diri daripada merasa lebih baik daripada orang lain. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

يخرج فيكم قوم يحقرون صلاتكم مع صلاتهم وصيامكم مع صيامهم وعملكم مع عملهم ويقرؤن القرأن لا يجاور حناجرهم يمرقون من الدين كما يمرق السهم من الرمية

“Akan muncul di antara kamu, sekelompok  orang yang memandang rendah solah kamu bersama solah mereka, puasa kamu bersama puasa mereka  dan amal kamu bersama amal mereka. Mereka membaca Al-Qur’an, tetapi Al-Qur’an  itu tidak sampai melewati tengkorok mereka, mereka keluar dari Islam seperti keluarnya anak panah dari busurnya.”  

  1. Jangan berniat mencari imbalan atau imbuhan duniawi daripada pembacaan Al-Qur’an. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

إقرؤوْ القرآن من قبل أن يأتي قوم يقيمونه إقامة قدح يتعجلونه ولا يتأجلونه

“Bacalah Al-Qur’an sebelum datang sekelompok kaum yang  membaca Al-Qur’an seperti orang yang sedang mengadakan undian. Mereka mengharapkan hasil yang cepat (imbuhan duniawi) dan tidak mengharapkan hasil yang lambat (pahala akhirat)”

  1. Jangan menjadikan Al-Qur’an atau pembacaannya sebagai alat untuk meminta-minta kepada manusia. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

من قرأ القرأن فاليسأل الله تبارك وتعالى به فإنه سيجيء قوم يقرؤون القرأن

يسألون الناس به

“Barangsiapa yang membaca Al-Qur’an, hendaknya dengan Al-Qur’an itu ia memohon kepada Allah. Sebab, akan datang sekelompok  kaum yang membaca Al-Qur’an untuk meminta-minta kepada orang lain.”

  1. Menjauhi daripada sifat-sifat munafik. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

أكثر  منافقى أمتي قرّاؤها

“Orang munafik di kalangan umatku kebanyakannya adalah qari’ dan qari’ah mereka.”

  1. Berhati-hati daripada tergelincir atau terjebak ke dalam maksiat. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

يكون في آخر الزمان عباد جهال وقرّاء فسقة

“Akan terjadi pada akhir zaman nanti, orang yang beribadah tetapi tidak tahu cara-cara  untuk beribadah dan qari’-qari’ yang fasik (banyak berbuat maksiat).”

  1. Banyak berdo’a kepada Allah Subhanahuwata’ala supaya Al-Qur’an itu menjadi hujjah baginya untuk memasuki syurga Allah Subhanahuwata’ala dan menjauhkan dirinya daripada neraka Allah Subhanahuwata’ala. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

القرأن حجة لك أو عليك

“Al-Qur’an itu merupakan bukti menguntungkan kamu (sehingga mengawalmu ke syurga) atau bukti yang mencelakakanmu (menyeretmu ke neraka ).”  

  1. Selalu bersama-sama dengan Al-Qur’an di sepanjang hidup. Serta, mengingatkan diri sendiri akan ancaman Allah Subhanahuwata’ala terhadap mereka yang berpaling daripada Al-Qur’an. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِكۡرِي فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةٗ ضَنكٗا

“Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.”

 

diambil dari : https://dakwahdantarbiah.com/keutamaan-membaca/